DIARI AKU

BLOG INI HANYALAH CETUSAN RASA DAN PENGALAMA N SAYA DALAM MENJALANI HIDUP SETELAH DI DAPATI POSITIF HIV. IA JUGA BUKAN MEDAN BUAT SAYA MEMINTA SIMPATI DARI SESIAPA ATAU MANA-MANA PIHAK. SEMOGA IA MENJADI SALAH SATU WADAH UNTUK MEMBANTU SERBA SEDIKIT SESIAPA SAHAJA DI LUAR SANA MELALUI BLOG INI.

Monday, July 4, 2011

Hidup Penuh Semangat

Salam semua,


Hari ini saya hanya ingin berkongsi video yang saya selalu tengok untuk menaikkan semangat yang kadang-kadang al-maklum kita ini manusia ada pasang surutnya untuk meneruskan cita-cita walaupun telah dapat menerima keadaan diri ini .

Walau apa pun cabaran dan keadaan yang kita sedang hadapi, pandanglah dari sudut yang membina, jangan cuma hanya melihat kekurangan yang ada, lihatlah kelebihan yang kita ada untuk terus maju di dunia dan akhirat.

Jangan pernah berputus-asa atas segala ujian dan cabaran hidup ini, kerana terlalu banyak yang perlu di capai dan di tuju. Jangan jadikan HIV satu sebab untuk kita melemahkan diri dan hanya mengharap di kasihani. HIV tidak menghalang cita-cita anda. Jangan biarkan diri terperangkap dalam kesedihan dan hanya mengenang masa lalu yang sudah pasti tidak akan boleh di ubah. Tetapi kita bisa menentukan perjalanan kita untuk esok hari .. dengan izin yang Maha Kuasa. InsyaAllah.

Bangunlah kawan dan sahabat sekalian. Nikmati dan kecapilah nikmat yang Allah telah sediakan buat kita di dunia ini. Bangun untuk hidup yang lebih bermakna, punya kerjaya, masa depan dan keluarga.

                                               

Saturday, July 2, 2011

Sikap Kurang Prihatin.. Aduh Malunya Aku

Assalamualaikum Semua,

Saya ingin berkongsi pengalaman yang agak memalukan yang saya alami ketika hari kedua saya di dapati HIV positif..

Setelah di maklumkan status kesihatan, pagi-pagi selepas menghantar isteri ke pejabatnya, bermacam-macam saya fikirkan, dan dalam kecelaruan dan keserabutan itu saya terfikir untuk mendapat nasihat atau pun kaunseling dari ahli agama , lalu saya memandu kereta menghala ke Masjid Negara dengan harapan untuk mendapat nasihat dari ahli agama atau ustaz, tetapi saya tidak tahu kepada siapa yang saya harus hubungi, saya menghubungi Pejabat Masjid Negara tetapi malangnya pada hari itu hari jumaat dan tiada sesi kaunseling pada hari itu.

Lantas saya terfikir ada baiknya saya menghubungi Jabatan Agama, mungkin saya boleh berjumpa seseorang  yang boleh memberi nasihat dari sudut agama dari Jabatan Agama.. Nasib saya baik saya di beri nama seorang ustaz di Jabatan Agama yang terletak bersebelahan Masjid Negara.

Apa yang saya hendak ceritakan ini adalah setelah saya memberitahu keadaan saya dan bagaimana saya di jangkiti (dengan niat supaya ustaz itu lebih memahami status emosi saya ketika itu).. Ustaz itu telah memberi nasihat yang bagus seperti di suruh bertaubat dan cuba memeberitahu isteri saya dengan cara berhemah.. beserta ayat-ayat dari  Quran.. tetapi malangnya Ustaz ini bercakap seolah-olah saya berada 100 meter darinya.... walaupun sesi itu di dalam bilik ustaz itu, tetapi suaranya boleh di dengar oleh mereka di luar yang sedang bertugas kerana saya melihat mereka memandang kearah kami... ( Bilik dengan tingkap kaca penuh dan dinding panel yang nipis..)

Ya Allah saya berasa amat malu dan berasa orang yang paling berdosa di dalam pejabat itu ketika itu...
Saya kurang pasti samada vokalnya memang sebegitu bila bercakap atau dia terbawa-bawa seolah-olah berceramah di hadapan jemaah di surau atau di masjid..

Bukankah bila seseorang itu datang untuk mendapat nasihat atas sesuatu masaalah , sepatutnya mempunyai etika yang perlu di patuhi.... sebab itu membabitkan peribadi orang yang mendapatkan nasihat.

Selesai sahaja saya mengucapkan terima kasih dan cepat-cepat keluar sambil menundukkan muka kerana mereka di luar turut memandang saya berlalu keluar dari pejabat itu.

Itu lah satu pengalaman yang saya dapat ketika berada di jabatan agama.

Keputusan Ujian Darah Pertama Isteriku

Assalamualaikum semua,

Kiranya hampir sebulan saya tidak meletakkan sebarang post di laman saya ini, bukannya apa.. cuma agak takut ada yang tersalah anggap dengan apa yang saya kongsikan terhadap luahan saya sebagai mencari simpati dan sebagainya. Demi Allah sekelumit pun tidak pernah terbit di hati ini untuk berbuat demikian, blog ini adalah diari hidup saya, kalau ada yang baik ambillah sebagai pelajaran dan yang buruk di jadikan sempadan.

Alhamdulillah bacaan pertama darah isteri saya menunjukkan yang dia bebas dari HIV, ini berdasarkan hampir 6 bulan saya tidak menyentuhnya.... setelah saya tahu kedudukan kesihatan saya dulu.
Bayangkan derita yang isteri terpaksa tanggung, akibat saya terlalu fobia walaupun menggunakan " pelindung getah keselamatan"..

Setelah keputusan di ketahui, bertambah lapang dada saya dalam menjalani hari-hari seterusnya... prestasi kerja saya meningkat dan lebih bersemangat untuk membina kerjaya yang agak stagnant sejak awal tahun ini.

Sekarang kami lebih banyak berbincang hala tuju keluarga kami, Misi dan Visi dalam berkeluarga dan mendidik anak-anak, saya praktikkan sistem yang di gunakan di pejabat saya. Iaitu jika di dalam sesebuah syarikat sudah tentu punya Visi dan Misi masing-masing di dalam mengembangkan syarikat. Begitulah intipati yang saya gunakan iaitu sesebuah keluarga juga perlu ada Visi iaitu Matlamat dalam berkeluarga, kemana  keluarga kami yang hendak di hala tujukan arahnya baik untuk dunia atau akhirat, dan apakah Matlamat atau pun Pengharapan dari Visi ini.

Apakah Misinya pula iaitu aktiviti atau plan bertindak yang perlu dilakukan supaya Visi kami tercapai.

Bulan ini kami akan ke HSB lagi untuk membuat ujian darah kali kedua buat isteri saya, kerana ujian kedua ini akan menentukan samaada isteri saya benar-benar bebas dari HIV, kerana virus ini mempunyai tempoh pengeraman selama 6 bulan sebelum ia menunjukkan dirinya di dalam darah seseorang.
Walaupun kaunselor di HSB mengatakan status isteri saya boleh di katakan "clean" berdasarkan kali terakhir hubungan kelamin di adakan, namun untuk lebih kepastian ada baiknya di jalankan pemeriksaan kedua.

Moga kalian di luar sana turut mendoakan keselamatan isteri dan keluarga saya.

Terima kasih
Hamba Yang Hina Lagi Fakir
Mencari Kasih